WELCOME TO MY PAGE

Kita OK atau kita KO?


Sekadar Untuk Renungan
16 Nov 2017, 9:00 am 16 Nov 2017, 1:36 pm

Apabila terlihat sidang akhbar Anggota Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham di Dewan Rakyat, terdetik di hati penulis mengenai masa depan negara.

Tatkala disajikan dengan berita pemotongan belanjawan ke atas sektor pendidikan, kesihatan dan hal-ehwal wanita, penulis lebih khuatir dikhabarkan menerima gambaran palsu mengenai dagangan antarabangsa Malaysia.

Memetik kata-kata Ngeh, ekonomi Malaysia bukanlah seindah yang digambarkan oleh kerajaan Umno BN yang telah enam dekad memerintah Malaysia.

Ini kerana, nilai dagangan antarabangsa Malaysia naik kerana nilai ringgit yang semakin melemah, bukan kerana lebih banyak barangan buatan tempatan yang berjaya dijual di luar negara.

Sebagai contoh, dahulu kita mengeksport 10 buah kereta pada harga AS$1,000 sebuah tatkala ringgit berada pada paras RM3 setiap dolar AS, maka kita mendapat nilai dagangan sebanyak RM30,000.


Perbandingan nilai dagangan


Tetapi, hari ini, ketika ringgit semakin menjunam ke paras RM4.48 untuk AS$1, apabila kita jual tujuh buah kereta pada harga yang sama iaitu AS$1,000 nilai dagangan kita ditafsirkan pada RM31,360.
Maknanya, dulu kita jual 10 buah kereta dapat RM30,000 tetapi hari ini kita jual tujuh buah kereta sahaja pun masih mendapat nilai dagangan lebih tinggi iaitu RM31,360.


image: https://i.malaysiakini.com/1179/f68c01a87e93a73b1af269d91a455efd.jpeg Secara langsung, ia bermakna nilai dagangan meningkat tetapi tidak beerti ekonomi kita semakin baik kerana jumlah barangan yang dijual menjadi semakin sedikit.

Itulah realitinya hari ini.

Sejak ringgit mengalami kejatuhan sekitar 49 peratus sejak 2013, kita dikelirukan dengan nilai dagangan antabangsa Malaysia.

Malah, kita juga terkesan dengan kenaikan harga barangan kerana negara terlalu banyak bergantung kepada sumber makanan dan barangan lain yang diimport, selain 'ihsan' kerajaan menambah bebanan rakyat dengan GST.
Fikiran menjadi semakin kusut apabila mengenangkan peratusan kenaikan gaji penengah yang cukup rendah.


Kenaikan harga barangan

Separuh daripada rakyat Malaysia bergaji di bawah RM2,000 sebulan manakala jumlah graduan menganggur pula semakin meningkat.

Oleh itu, rakyat tidak mampu lagi untuk menukar gaya hidup kerana majoriti mereka sudah terdesak dalam menyara kehidupan.


Inilah antara realiti yang ada pada hari ini.


image: https://i.malaysiakini.com/1124/99ab2eb4d8b5a2a992d128c2f0ce9062.jpeg Mari lupakan seketika tentang "hari ini" buat seketika untuk kita meninjau, membayangkan masa depan pula.

Bagi mereka yang mempunyai anak yang baru menamatkan persekolahan peringkat rendah atau menengah - seperti penulis - pastinya tidak tergambar masa depan mereka dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Disuruh mereka tekun belajar dan masuk universiti, takut nanti kita pula yang dipersalahkan atau dimarahi apabila usaha dan kesungguhan mereka menimba ilmu tidak mendapat pulangan yang baik.

Masakan tidak marah. Selepas menamatkan pengajian di universiti mereka terpaksa bekerja dengan gaji yang tidak sepadan pada waktu siang, manakala sebelah malam pula terpaksa menjadi pemandu Uber untuk menambah pendapatan.

Apa makna kehidupan jika terpaksa bekerja siang malam selepas tamat pengajian di universiti, berpuluh tahun bertungkus-lumus di sekolah rendah dan menengah semata-mata mahu mendapatkan gred yang baik?

Tetapi, stesen televisyen dan radio tempatan sering menyiarkan lagu Aku Negaraku - yang antara kandungan liriknya ialah:

Ku sedar tanah air aku bertuah
di sini tempatku berjasa
kusedar sempurna hidupku di sini
Malaysia kuterhutang budi

Aku negaraku
di hatiku negaraku
sememangnya negaraku maju
negaraku tanah tumpah darahku

Apakah kerajaan terus mahu mendendangkan lagu yang menggambarkan kononnya keadaan ekonomi dan sosial yang berkembang, makin baik sedangkan realitinya - tanpa perlu terlalu jauh memandang ke depan - kita tidak begitu baik pada masa ini.

Aku Negaraku

Bagaimana kita mampu untuk menjadi lebih baik pada masa depan jika baja yang kita letak pada benih hari ini bukan daripada gred yang berkualiti sedangkan kekayaan negara semakin melimpah ruah ekoran harga minyak dunia yang semakin mencanak-canak.

Justeru, tatkala kita dihidangkan dengan berita-berita seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi, kadar inflasi rendah dan lebihan nilai dagangan antarabangsa, kita sebenarnya makin susah akibat kenaikan harga barangan.

Mungkin, apa yang kerajaan mahu ialah apabila kita terdengar lagu Aku Negaraku, lirik-lirik di dalamnya mampu untuk memujuk hati untuk bertenang, bersabar dan pasrah dengan apa yang sedang berlaku hari ini.

Juga, jangan terlalu gelisah mengenai masa depan kerana - 'kita bersama membina masa depan, semangat setinggi angkasa.. sememangnya negaraku maju' dan 'Malaysia aku bahagia'.

Jawablah, rungkailah dengan seikhlas hati keadaan semasa dan masa depan negara, demi membina sebuah bangsa Malaysia yang mampu tersenyum pada hari ini dan kemudian hari.


AMRAN AHMAD NOR merangkul ijazah MBA dari universiti di United Kingdom selain bekas wartawan ekonomi akhbar arus perdana. Pernah menjadi pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Post a Comment

0 Comments